Monday, July 15, 2013

Madu yang Tidak Manis



"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fitri tegas dan yakin. Tiba-tiba mata Azimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah. "Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Azimah dengan suara tersekat-sekat.



Mata Fitri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Azimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Azimah langsung tidak selari dengan penampilannya. "Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Azimah mula sebak. "Tak. Maksud saya…". "Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Azimah dengan kasar.


"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Azimah semakin tinggi, setinggi egonya. Fitri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Azimah' di sebalik Azimah yang dia kenal selama ini.

Azimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fitri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Fitri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya. "Tak mengapa, pasti ada hikmahnya" bisik hati kecil Fitri, sekecil pandangannya terhadap Azimah.



Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fitri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Fitri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fitri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agamayang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Azimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fitri. Bagi Azimah, Fitri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fitri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fitri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Azimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Azimah, namun sikap Azimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fitri tersebut. Bagi Azimah, Fitri tak ubah seperti lelaki lain.


Gerak kerja dakwah Fitri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya.


Fitri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun Allah s.w.t. maha mengetahui lagi maha pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fitri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fitri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fitri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Azila. Fitri sekali lagi gusar takut-takut Azila tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fitri menemui Tuhannya, namun Azila yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Azimah atau tidak?

Fitri bercelaru tetapi tidak bermakna lamaran Azila ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Azila daripada beberapa sahabat terdekatnya. Fitri berjumpa dengan Azila bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin sekali lagi Fitri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Azimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fitri tanpa segan silu. "Sudi" jawab Azila ringkas”. "Ehh, betul ke ni?" tergagap Fitri menerima jawapan Azila yang tenang dan yakin. Azila mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fitri. "Kenapa saya?" tanya Fitri ingin tahu. "Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Azila yakin tetapi sedikit malu. "Baiklah," jawab Fitri tersenyum.

Akhirnya, Fitri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Azila, Fitri terasa dakwahnya semakin laju.

Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah Azila sangat membantu gerak kerja Fitri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah Fitri membawa Azila untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala letih menyinggah Azila. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah seperti mesin yang tiada kenal penat. Namun inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fitri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Azila juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Azila dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah. "Ye sayang?" jawab Fitri sambil memandu. "Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Azila yang sangat teringin berjumpa dengan madunya. "Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fitri menoleh sedikit ke arah Azila, sambil tersenyum. "Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Azila riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fitri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Azila, dia merendah diri keranausahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fitri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fitri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fitri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fitri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Azila yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Fitri menuding jari ke arah khemah tersebut. "Mana bang?" Azila mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fitri. "Tak nampak pun," Azila meninggikan sedikit hadapan kakinya. "Siapa nama isteri pertama abang?" Azila sangat berdebar. Fitri tersenyum lebar, memandang Azila penuh tenang. "Perjuangan!!" jawab Fitri.


Sedarlah semua kalian sebenarnya bermadu!


Jika dirimu bakal seorang isteri terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua!!!
Kerana isteri pertama bagi suamimu ialah agamanya iaitu Islam!!! Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuang kan Islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu!

Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami terimalah hakikat bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu!!! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana ‘suami’ yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya!

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu! Bantulah isterimu dan kuatkanlah dia untuk teruskan perjuangan!!


No comments:

Post a Comment