Thursday, July 25, 2013

Ketika Cinta Bersujud



Assalamualaikum cucu2 sekalian. Tahukah cucu2 semua bahawa kita solat sekurang-kurangnya 5 kali sehari iaitu sebanyak 17 rakaat dan telah melakukan  34 kali sujud sehari semalam? Di dalamnya pula tersembunyi 1001 rahsia dan hikmah yang terkandung. 

Antaranya bilamana seorang ahli Sains saraf otak Amerika, Dr. Fidelma O’leary mendakwa bahawa beberapa saraf di otak manusia tidak boleh dialiri oleh darah dari jantung kerana posisi jantung yang berada di dada tidak cukup kuat untuk menampung pembawaannya ke otak manusia. Padahal otak amat memerlukan oksigen dan bekalan darah yang mencukupi supaya dapat berfungsi secara normal. Beliau mengkaji dari tempoh masa yang lama untuk mencari jawapan. Dikaji dengan lebih serius akhirnya dia perolehi jawapan bahawa darah akan mengalir setiap inci ke otak manusia secara sempurna ketika seseorang itu melakukan sujud seperti yang dilakukan oleh orang-orang Islam dalam solat. Bila perkara ini berlaku,maka otak dapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi lalu dapatlah menghindarkan pelbagai jenis penyakit seperti stress, migraine, stroke , menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika sujud waktu solat Subuh). Juga boleh membaiki posisi anak dalam kandungan rahim…dll. Paling hebat lagi akhirnya dgn mengetahui rahsia ini  dia akhirnya menemui hidayah dan memeluk Islam…

Sebenarnya dalam pengertian sebenar bersolat adalah dengan mengetahui maknanya. Maka ketahuilah cucu2 semua bahawa dalam setiap rakaat:-
 
1. sujud pertama tanda taat (Perintah Allah)  

2. Sujud kedua tanda syukur (hamba kepada Allah)

Dalam khutbah Ramadhan Nabi s.a.w pernah bersabda bermaksud: Punggung-punggung kalian sudah berat menanggung dosa-dosa kalian. Ringankan lah beban kalian dengan memperbanyakkan sujud.


 “Hendaklah kamu bersujud kepada Allah kerana sungguh tiada sekali engkau bersujud melainkan dengannya Allah mengangkat satu darjat dan menghapuskan satu dosa (kesalahan) darimu” ,(HR Muslim) 
 


Firman Allah SWT yang bermaksud Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut ayat:45) 
 
DARI SUDUT TASAWUF
Sujud adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan “rasa menghina dirinya” seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa“Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan”.


Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Huzaifah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:-“Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah (sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)”. (Hadis Riwayat Imam Tabrani).
 
Firman Allah SWT yang bermaksud:- ” Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat Kami ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri” (Surah As-Sajadah ayat 15).

Sujud bererti seseorang itu telah meletakkan wajahnya ditempat yang paling rendah di atas tanah ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah, mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina maka tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah yang menciptakan dirinya dari tanah itu.

Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia ingat akan mati maka terasa seolah-olah bahawa solatnya itu sebagai solat penghabisan kerana ia akan menghantarkan dirinya ke tanah. Ia merasakan bahawa setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi. Sedangkan kematian itu merupakan pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat.
 

Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasai kebesaran Allah dan ketika itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi disamping lidah tidak bertulang mengucapkan, “Subhana Rabbial- A’la wa-Bihamdih”.
 

Sesungguhnya Islam itu indah.. solat itu telah menyempurnakan dan memberikan kebaikan kepada hambaNya zahir dan batin. Bila kita sempurnakan hak Allah (solat) , Dia pula akan menyempurnakan hak kita sebagai hamba (hikmah dan kebaikan ) kerana itulah janjiNya terhadap makhlukNya.


No comments:

Post a Comment