Friday, July 5, 2013

Hasad Dengki Iri Hati



Daripada Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:


Maksudnya: “Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan janganlah sebahagian kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak patut menzalimi, membohongi, dan merendahkannya. Takwa itu di sini (beliau menunjukkan dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang  dikatakan buruk jika sampai menghina saudaranya sesama setiap Muslim adalah haram bagi Muslim yang lain.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)


Tanda mudah untuk mengesan penyakit ini adalah seseorang itu merasa susah hati apabila melihat kesenangan yang dinikmati oleh orang lain sebaliknya seronok apabila melihat orang lain mendapat kesusahan.

Hasad adalah kalimah bahasa Arab yang bermaksud dengki. Dalam laras bahasa Melayu, kedua-dua kalimah Arab dan Melayu ini digabungkan, mungkin sebagai kata penguat kepada kalimah pertama.


Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki sentiasa berada dalam keadaan resah serta gelisah. Antaranya disebabkan tidak senang dengan kejayaan orang lain yang maju terus kehadapan. Penyakit ini umpama satu virus bahaya yang telah merebak ke seluruh hati-hati sehingga sukar diubati.

 

Benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW: Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama. (riwayat At-Tirmidzi).

Hasad hukumnya haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Orang yang memiliki sifat ini dikira memiliki akhlak yang tercela. Malah sifat hasad dengki ini merupakan salah satu sifat iblis. Sifat hasad dengki bukan sahaja boleh membahayakan fizikal malah lebih bahaya daripada itu ia boleh merosakkan agama.


Allah berfirman: Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. (al-Imran: 120).

 

Lantaran sifat hasad dengki ini kesannya sangat buruk maka Allah memerintahkan kita berlindung daripada keburukannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan dari kejahatan pendengki apabila ia dengki. (al-Falaq: 5).

No comments:

Post a Comment