Thursday, October 31, 2013

Macam Sabar je, Macam Sabar Je, Macam Sabar Je, Macam Maki Jer..



Mari sini cucu-cucu Atuk. Assalamualaikum wbt. Hari ni Atuk nak bercerita pasal kisah tauladan dari zaman Rasulallah kepada cucu2. Rasulallah ni bila tak berdakwah dia akan mendatangi isteri-isterinya dan sanak saudaranya bertanya khabar dan membantu apa yg boleh. Setelah selesai semua itu baru dia akan menjenguk para sahabat untuk membincangkan masalah negara pulak.


Suatu hari, Rasulullah saw bertandang ke rumah Abu Bakar As-Siddiq. Ketika bermuzakarah dengan Rasulullah,tiba-tiba datang seorang Arab Badwi melalui rumah Abu Bakar dan langsung mencela Abu Bakar. Dengan segala maki hamun serta  kata-kata kesat keluar dari mulut longkang orang itu. Namun, Abu Bakar tidak menghiraukannya. Ia melanjutkan saja perbincangan dengan Rasulullah macam tiada apa yang berlaku. Melihat hal ini, Rasulullah tersenyum.
 
Kemudian, orang Arab Badwi itu kembali lalu dan memaki Abu Bakar lagi. Kali ini dengan makian dan hinaannya yang lebih kasar. Namun dengan keimanan yang kukuh serta kesabarannya, Abu Bakar tetap membiarkan orang tersebut. Rasulullah kembali memberikan senyumannya. Semakin marahlah orang Arab Badwi tersebut.



Untuk ketiga kalinya, ia lalu lagi untuk mencerca Abu Bakar dengan makian yang lebih menyakitkan hati. Kali ini, selaku manusia biasa yang memiliki hawa nafsu, Abu Bakar tidak dapat menahan amarahnya. Dibalasnya makian orang Arab Badwi tersebut dengan makian yang power2 jugak. Maka terjadilah perang mulut antara kedua mereka dihadapan Rasulallah. 


Seketika itu juga Rasulullah beranjak dari tempat duduknya. Ia meninggalkan rumah Abu Bakar tanpa mengucapkan salam dan terus pergi. Melihat hal ini, selaku tuan rumah, Abu Bakar tersedar telah terjadi sesuatu yang tidak menyenangkan Rasulallah dan Abu Bakar menjadi bingung. Dikejarnya Rasulullah yang sudah sampai halaman rumah.

Kemudian Abu Bakar berkata, "Wahai Rasulullah, janganlah anda biarkan aku dalam kebingungan yang sangat. Jika aku berbuat kesalahan, jelaskan kesalahanku!" Rasulullah menjawab, "Sewaktu ada seorang Arab Badwi datang dengan membawa kemarahan serta fitnah lalu mencelamu, kulihat engkau tenang, diam dan engkau tidak membalas. Aku bangga melihat engkau orang yang kuat mengahadapi tentangan, menghadapi fitnah, kuat menghadapi cacian, dan aku tersenyum kerana ribuan malaikat turun dan berada di sekelilingmu lalu mendoakan dan memohonkan ampun atasmu kehadrat ALLAH swt.
 Begitu juga buat kali yang kedua, ketika ia mencelamu dan engkau tetap membiarkannya. Maka tahukah engkau bahawa para malaikat semakin bertambah banyak jumlahnya berada disekelilingmu mendoakanmu lagi. Oleh sebab itu aku tersenyum. Namun, ketika kali ketiga ia mencelamu dan engkau hilang sabar, dan engkau membalasnya makiannya, maka seluruh malaikat pergi meninggalkanmu lalu hadirlah iblis menemani di sisimu. Oleh kerana itu, aku tidak ingin berdekatan dengan kamu kerana aku tidak ingin berdekatan dengannya, dan kerana itu aku tidak member salam kepadamu kerana aku tidak mau memberikan salam kepadanya."
Setelah itu menangislah Abu Bakar ketika diberitahu tentang rahsia kesabaran bahawa itu adalah kemuliaan yang terselubung. Dengan tidak membalas makian dan fitnah orang ke atasnya maka rahmat Allah dan doa para malaikat mengelilingimu. Maka oleh kerana itu pesan Rasulallah dan guru2 bahawa sesungguhnya diam itu lebih baik dari berkata-kata mempunyai maksud yang mendalam. Hanya mereka yang tahu akan mengerti.

Wednesday, October 30, 2013

Panggilan Haji dan Panggilan Izrail....




Seramai 16 orang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci kerana masalah kesihatan ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu. Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata segala urusan pengebumian dan sijil kematian diuruskan oleh Tabung Haji di sana dan kemudian dihantar kepada waris di negara ini. "Petugas Tabung Haji yang berada di Makkah akan memaklumkan kepada saya sekiranya ada jemaah haji kita yang meninggal di sana supaya pihak kita dapat memaklumkan kepada waris si mati," katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga seorang jemaah yang meninggal dunia di Makkah, di Kampung Pokok Pauh Dalam, Pokok Sena dekat sini hari ini.


Abdul Azeez menziarahi keluarga Allahyarham Jasin Taib, 73, yang meninggal dunia di Hospital King Abdulaziz di Jeddah pada Isnin lalu akibat sakit tua. Rombongan Tabung Haji hadir di kediaman keluarga Allahyarham bagi menyampaikan bantuan khairat kematian kepada anak sulung Allahyarham, Ghazali, 52. Abdul Azeez berkata Allahyarham merupakan jemaah ke-15 yang meninggal dunia di Makkah dan jenazah disemadikan di tanah perkuburan Syara’ik di Makkah.

Beliau berkata isteri arwah, Siti Aminah Abau, 70, dan anak bongsu, Abdul Rashid, 40, yang turut serta menunaikan haji akan pulang ke Malaysia pada 14 November ini. Abdul Azeez berkata setakat ini, lebih 2,000 jemaah haji Malaysia telah pulang ke Malaysia dan penerbangan terakhir bagi musim haji kali ini adalah pada 17 November. Sementara itu, Ghazali berkata arwah ayahnya sepatutnya menunaikan haji pada tahun lepas tetapi disebabkan kesihatannya tidak mengizinkan, tahun ini baru arwah boleh ke sana.
"Arwah ada penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sebelum berangkat, arwah sedikit bimbang untuk ke sana kerana tidak berapa sihat. Ayah dah lama simpan duit untuk ke Makkah. Dia bekerja buat bendang dan hasil duit itulah membolehkannya pergi menunaikan haji dengan mak," katanya. – Bernama, 27 Oktober, 2013.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Lazimnya jika seseorang meninggal dunia di Makkah, sudah tentu jenazahnya tidak akan dibawa pulang ke tanah air masing-masing. Sebaliknya terus dikebumikan di tanah suci Makkah. Bolehlah dianggap ini sebagai satu peluang yang Allah SWT berikan kepada kita untuk disemadikan di Makkah. Begitulah yang terjadi pada Paduka Ayahnda Atuk. Walau sejahat mana pun orang kata kelakuannya semasa didunia tetapi Allah mengkehendaki beliau amat rapat berehat dengan makam rasulallah maka beliau meninggal dan di makamkan disana juga. Alfatihah untuk Paduka Ayahnda Atuk.


MEKAH dan Madinah adalah dua kota suci dalam Islam. Di dalam al-Quran dan hadis, dua kota itu sering disebut juga dengan Tanah Haram (Al-Balad Al-Haram). Kata haram bererti larangan atau tegahan. Sebagai kawasan yang dimuliakan, tidak menghairankan jika Tanah Haram memiliki peraturan bagi orang-orang yang tinggal di dalamnya.
Salah satu peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah larangan bagi golongan bukan Islam memasuki Masjidilharam. Ia terkandung dalam firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 28 bermaksud:

“"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin, maka Allah akan memberikan kekayaan kepadamu dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." 

Berikut dipaparkan antara keistimewaan kedua-dua kota suci tersebut:

KOTA MEKAH

TERDAPAT satu ruangan tanah di planet bumi yang diistimewakan Allah. Ia adalah sebidang tanah seluas lebih kurang 540 kilometer persegi. Inilah tanah tempat Allah pertama kali meletakkan bangunan rumah-Nya di bumi, yakni Kaabah. Itulah juga sebagai tempat tumpuan kiblat manusia sejagat. Mekah di dalam al-Quran disebut berkali-kali dengan terminologi berbeza. Ini menunjukkan betapa kelebihan Mekah sangat banyak dibanding kota-kota lain di dunia ini.

Selain Mekah, di dalam al-Quran Allah menyebut kota suci ini sebagai Bakkah (lembah air mata), Ummul Qura (perkampungan tua), al-Balad (negeri), al-Balad al-Amin (negeri yang aman), al-Baddah (negeri), Haram Amin (tanah suci yang aman), Wad Ghairu Dzi Zar’in (lembah yang gersang) Ma’ad (tempat kembali), Qaryah (negeri/kampung), al-Masjid al-Haram dan lain-lain. Dalam buku Sejarah Mekah Dulu dan Kini, tulisan Dr.Muhammad Abdul Gani, Maktab Al-Malik Fahd, edisi kedua, Madinah 2003, disebutkan, beberapa kelebihan Mekah iaitu : 

* Tempat dibangunnya rumah Allah (Baitullah) pertama kali.
* Kota kelahiran Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman.
* Tempat pertemuan Adam dan Hawa yang mana setelah dikeluarkan dari syurga, mereka berdua hidup mengembara selama 200 tahun sehingga Allah mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah, Arafah.
* Tempat beribadah para hamba-Nya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya mengerjakan haji.
* Tempat yang tidak boleh seorangpun masuk ke dalamnya kecuali dengan kerendahan hati, khusyuk dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia.
* Tempat yang dijadikan Allah sebagai tanah suci yang aman, yang tidak boleh ada pertumpahan darah di sana.
* Tempat yang dimaksudkan untuk menghapus dosa-dosa masa lalu.
* Tempat yang Allah mensyariatkan kepada manusia untuk bertawaf di Kaabah.
* Tempat yang Allah mewajibkan bagi orang-orang yang mampu untuk mengunjunginya.
* Tempat yang tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hamba-hamba-Nya untuk menghadap dan melambaikan tangan, kecuali kepada Kaabah, Hajarul Aswad, Rukun Yamani yang adanya di kota Makkah.
* Tempat yang tidak ada di muka bumi ini suatu masjid pun, yang memiliki keistimewaan bagi siapa saja yang solat di dalamnya maka pahalanya akan dilipatgandakan 100,000 kali.
* Tempat yang dilarang oleh Allah untuk menghadap atau membelakanginya pada waktu buang hajat.
* Tempat yang Allah memberikan balasan bagi siapa saja yang berniat jahat, walaupun belum melakukannya. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya akan dilipatgandakan. Ia kerana melakukan kejahatan di tanah suci, lebih besar dosanya dibandingkan di tempat-tempat lain.
* Tempat-tempat yang mustajab bagi orang-orang yang berdoa di sana, misalnya di Hajar Aswad, di Rukun Yamani, di makam Ibrahim, di Hijir Ismail, di telaga Zamzam, di Arafah saat berwukuf dan lain-lain.
* Tempat di mana Allah pernah bersumpah atas nama negeri Mekah seperti dituturkan-Nya dalam surah At-Tiin, kalau tidak kerana istimewanya Mekah, Allah tentu tidak perlu mengangkat sumpah atas nama negeri yang sarat dengan sejarah itu;
* Tempat yang sentiasa dijaga para malaikat.
* Tempat adanya telaga zam-zam yang luar biasa.

MADINAH

SATU-SATUNYA tanah yang Rasulullah SAW sahkan boleh digunakan untuk mengubat penyakit dengan izin Allah SWT ialah tanah di kawasan tanah haram Madinah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda;
"‘‘Dengan nama Allah, debu tanah kita (yang dicampur) dengan air liur setengah daripada kita menyembuhkan dari penyakit kita dengan izin Allah."

Madinah merupakan salah satu dari dua kota suci Islam yang dikawal para malaikat sepanjang masa. Kawalan yang dibuat itu ialah bagi menghindari penyakit taun dan serangan Dajjal. Seperti yang kita tahu bahawa di akhir zaman kelak, Dajjal akan muncul di setiap kota dan desa. Namun begitu Madinah dan Mekah tidak dapat dimasuki Dajjal kerana ia dikawal oleh para makaikat yang diutus Allah SWT. bagi tujuan tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut Rasulullah SAW bersabda bahawa Dajjal akan muncul di setiap kota melainkan Madinah dan Makkah. Dia tidak dapat masuk kerana malaikat akan melindungi kedua-dua kota itu.

Tentang kawalan taun pula, sebuah hadis daripada Al-Bukhari meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW bermimpi mengenai Madinah. Baginda kemudiannya bersabda yang bermaksud:

"‘Aku melihat seorang perempuan kulit hitam dengan rambut kusut masai keluar dari Madinah dan dia singgah di Mahyaah. Aku mentafsirkannya sebagai taun Madinah yang telah dipindahkan ke Mahyaah iaitu Juhfa’."

Setelah faham dgn kelebihan dua kota suci itu disini Atuk nak kongsi sedikit pasal pemakaman di Makkah ni. Kebiasaannya rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Makkah terutamanya sewaktu mereka sedang mengerjakan ibadah umrah atau ibadah haji.  Beginilah ‘perjalanan’ yang perlu anda lalui sekiranya anda meninggal dunia di Makkah. Di sini, anda disemadikan tanpa batu nisan, memungkinkan tiada ahli keluarga yang dapat menziarahi anda di kemudian hari di sebabkan lokasi kubur anda tidak diketahui.


Bolehkah kita bercita-cita untuk mati di Makkah atau Madinah? Dalam sebuah hadith Nabi SAW ada disebut:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mampu untuk mati di Madinah maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati di sana.” (riwayat Ahmad dan At-Tirmizi).

Menurut riwayat al-Tabarani, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: 

“Sesiapa antara kamu yang mungkin mampu untuk meninggal dunia di Madinah, meninggallah di sana”.

“Sesungguhnya sesiapa yang meninggal dunia di sana, aku menjadi saksi atau pemberi syafaah kepadanya pada hari kiamat.” (Sabiq, 2000: I: 522-24)

Ini menunjukkan satu perkara yang diharuskan oleh Islam, di mana ulama telah mengistinbat (mengeluarkan) hukum dari hadith tersebut seperti yang dijelaskan oleh Al-Imam An-Nawawi, Ibnu Hajar dan lain-lain bahawasanya HARUS untuk berniat untuk mati di tempat yang baik dan dalam keadaan yang baik. Apatah lagi di Madinatul Munawwarah, ganjarannya sangat jelas iaitu Nabi akan memberi syafaat. Jadi kita berdoa kepada ALLAH SWT agar kita mati di dalam keadaan yang baik dan di tempat (Makkah,Madinah) yang baik. 




Gambar-gambar yang Atuk sertakan disini menunjukkan antara proses yang dilakukan jika terdapat jenazah yang meninggal dunia di Makkah.


Di dalam Ihya’Ulumuddin, disebut bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya :

Barang siapa keluar untuk menunaikan ibadah haji atau umrah lalu meninggal dunia, maka baginya diberlakukan pahala berhaji dan berumrah hingga hari kiamat. Dan barang siapa meninggal dunia di salah satu tanah suci, maka kelak dia tidak diadili dan tidak pula dihisab, melainkan dikatakan kepadanya, ‘Masuklah ke dalam syurga’


Menurut saudara Atuk, jenazah jemaah haji Malaysia biasanya diuruskan oleh pelajar2 kita yang menuntut disana dengan kerjasama Lembaga Urusan Tabung Haji dan Kedutaan Malaysia. Semoga kita termasuk di kalangan yang bernasib baik di beri peluang untuk disemadikan di tanah suci Makkah atau Madinah…amiin.

Monday, October 21, 2013

REDA BUKAN RELA, TAWAKAL DAN PASRAH BUKAN MENYERAH

Assalamualaikum wbt. Buat pembaca yang budiman, dengarkanlah sedikit pandangan hati dari Atuk untuk tatapan kalian terutama buat yang dikasihi Datin Paduka. Sememangnya akal dan minda Atuk berputar ligat mencari ilham agar dapat menenangkan hati dan mencari jawapan kepada persoalan yang kekasih hati Atuk tu utarakan pada Atuk sebelum raya haji lagi. Oh ya Atuk lupa nak ucapkan.. Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua pembaca blog Atuk ni (mcm la ramai sgt org nak baca kan...). Satu persoalan yg cukup mudah diucap tapi payah untuk diuraikan. Kalau sedebik dtg kat korang persoalan ni pun belum tentu korang dapat jawab dgn lancar dan mudah.. Sebab Atuk sendiri pun mahu kan sedikit waktu untuk menerangkan pada Datin Paduka. Soalannya cukup mudah... Apa bezanya redha @ reda, rela, tawakal, pasrah, menyerah? Cer jawab cepat.. Boleh? hehehee..
Akal Atuk yg cetek ilmu ini pun terus menerangkan kepada Datin Paduka makna disebalik ayat tu.Last2 dia x puas hati sebab dia nak penerangan menyeluruh dari Atuk. Maka terpaksalah Atuk buka ipad ghaib Atuk untuk merungkaikan jawapan kepada beliau untuk lebih jelas dan nyata sekaligus berkongsi dengan korang semua akn pendapat Atuk tentang semua makna disebalik perkataan2 tu.
Apakah erti redha? Haaa bab ni guru Atuk pernah bagitau so senang juga la Atuk nak explain. Redha ini adalah menerima dengan ikhlas segala ketentuan dan hukum Allah (qada dan qadar) tak kira sama ada baik atau buruk kerana hanya Dia yang lebih mengetahui. Ia bukan mcm dialog Ombak Rindu tu "Redha itu rela, Pasrah itu menyerah". Pada Atuk redha dan rela itu sesuatu yang berlainan maksudnya. Kalau korang telah menerima dengan ikhlas tanpa banyak soal jawab asal kejadian korang lahir sebagai lelaki dan wanita, maka itu namanya redha. Walaupun korang ada yg jenis kadang2 dah elok2 jadi lelaki bedah sana sini biar nampak mcm perempuan yang kononnya jiwanya perempuan. Itu namanya tak redha..
Rela pulak kalau korang sesaja nak google kat internet haaa pasal rela yang ni jer yg keluar. Bukan rela ini maksud rela dan redha ini. Rela ini Atuk definisikan sebagai menerima baik dan buruknya akan ketentuan sesuatu perkara dengan tidak ikhlas. Yang membezakan rela dan redha pada pendapat Atuk adalah menerima dengan ikhlas dan tidak ikhlas. Kalau pengakhirannya baik redha la jadinya, kalau buruk rela la jadinya pulak. Kdg2 manusia menjadi rela kerana tiada pilihan lain untuk dirinya.


Tawakal atau tawakkul bererti mewakilkan atau menyerahkan. Dalam agama Islam, tawakal bererti berserah diri sepenuhnya kepada Allah dalam menghadapi atau menunggu hasil suatu pekerjaan atau menanti akibat dari suatu keadaan. Imam al-Ghazali merumuskan definisi tawakkal seperti berikut, "Tawakal ialah menyandarkan kepada Allah swt tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepadaNya dalam waktu kesukaran, teguh hati tatkala ditimpa bencana disertai jiwa yang tenang dan hati yang tenteram. Menurut Abu Zakaria Ansari, tawakal ialah "keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain". Sifat yang demikian itu terjadi sesudah timbul rasa percaya kepada orang yang diserahkan urusan tadi. Ertinya, ia betul-betul mempunyai sifat amanah (percaya) terhadap apa yang diamanatkan dan ia dapat memberikan rasa aman terhadap orang yang memberikan amanat tersebut.

Tawakal adalah suatu sikap mental seorang yang merupakan hasil dari keyakinannya yang bulat kepada Allah, kerana di dalam tauhid ia diajari agar meyakini bahawa hanya Allah yang menciptakan segala-galanya, pengetahuanNya Maha Luas, Dia yang menguasai dan mengatur alam semesta ini. Keyakinan inilah yang mendorongnya untuk menyerahkan segala persoalannya kepada Allah. Hatinya tenang dan tenteram serta tidak ada rasa curiga, kerana Allah Maha Tahu dan Maha Bijaksana.

Pada Atuk rumusan tawakal ni mudah jer kutttt.. ianya merupakan keredhaan dalam menerima apa jua akibat sama ada baik atau buruk setelah kita berusaha untuk sesuatu maksud.

Bab pasrah ni pulak Atuk rasa ramai yg tak tau definisi sebenarnya walaupun diaorg pandai sebut dan rasa mcm tau apa yg diaorg ckp kan tu namun sebenarnya tidak. Pada Atuk pasrah ni lawan dari maksud tawakal sebab pasrah ni menyerahkan bulat2 kepada Allah akan segala akibat sama ada baik atau buruk tanpa berusaha dan berbuat apa-apa.
Dalam menerang erti menyerah pulak pada Atuk ia seakan-akan konsep redha juga. Cuma bezanya ialah menyerah adalah mereka yang telah berusaha malah ada yang berusaha keras untuk mendapat akibat yg baik dalam sesuatu perkara namun masih tidak berjaya atau menemui jalan buntu atau menerima kibat yang buruk namun mereka mengharapkan keajaiban berlaku dimana berharap Allah mendatangkan akibat yg baik atau mereka rela menerima akibat buruk dengan mengakui kelemahan mereka sendiri.

Dah cukup panjang rasanya Atuk dok explain benda ni so Atuk harap korang faham la serba sedikit apa yg Atuk tulis. Kalau korang x faham juga korang gi la jumpa cikgu BM korang utk penjelasan lanjut. Kalau cikgu BM korang dah mati, korang cari la sesapa yang ngajar BM yg dekat dgn tempat korang. Tak dapek Atuk nak nolong nyer..

Tuesday, October 1, 2013

Cemburu itu Nafsu..



Assalamualaikum wbt buat seluruh penduduk langit dan bumi. Sakit2 badan Atuk tak hilang lagi sebab berpuluh kali naik turun tangga yang curam semalam. Dalam mengeliat-ngeliat tu tetiba Datin Paduka kesayangan dok tanya Atuk tentang cemburu ni. Kebetulan anak murid Atuk dalam 4-5 hari lepas dok berkeluh kesah sebab isterinya pun buat benda yang sama iaitu cemburu. Maka datanglah ilham Atuk untuk menulis pasal cemburu ni selepas Atuk habis settlekan satu kes sihir di negeri di bawah bayu.

    Definisi cemburu menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih. Kecemburuan juga boleh wujud dalam persahabatan atau antara adik-beradik seperti kakak dengan adik kandungnya. 

    Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap orang yang dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang berkata ‘cemburu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan. 

    Mungkin ini ada benarnya kerana jika kita tidak sayang pada seseorang mengapa mesti kita merasa cemburu terhadapnya. Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia yang amat sukar untuk dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’ seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan jelas (tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk dirinya sahaja dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan orang lain. Namun begitu sifat terlampau cemburu yang mencapai tahap ‘cemburu buta’ amat tidak digalakkan kerana ia boleh menggugat hubungan sesebuah rumahtangga begitu juga ketiadaan langsung sifat cemburu pula sebenarnya boleh membawa akibat buruk kerana ia boleh menjadi punca pasangan ‘mudah dikebas orang’. Dengan itu terdapat dua jenis cemburu iaitu cemburu yang positif dan cemburu yang negatif. 

    Bila berbicara tentang cemburu juga, ramai menuding jari mengaitkannya dengan kaum hawa di mana mereka beranggapan bahawa kaum wanita ini sangat kuat cemburunya. Dalam soal ini, sebenarnya sama ada lelaki mahupun wanita masing-masing mempunyai sifat cemburu. Cuma yang membezakannya ialah tahap cemburu tersebut dan sejauh manakah perasaan cemburu itu berjaya dikawal. 


      Dalam hubungan suami isteri, sifat cemburu wajib dikawal. Jika tidak klimaksnya nanti boleh membawa kepada putusnya sesuatu ikatan perkahwinan itu (bercerai). Dalam hal ini rasa cemburu acapkali membuatkan seseorang berubah menjadi orang yang selalu curiga dan sentiasa berprasangka buruk. Hakikatnya dia sedar bahawa sikap cemburunya itu kurang menyenangkan pasangannya tetapi dia tidak mampu mengawalnya. Dia merasakan bahawa apa yang dilakukan semuanya betul dan sentiasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya hatta perkara yang kecil sekalipun sehingga mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran yang menggugat kemesraan yang terjalin sebelumnya. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan, seseorang itu apabila dapat melihat tanda-tanda awal cemburu pada pasangannya, hendaklah bertindak segera agar tidak merebak. 



    Jika pasangan kita mula menunjukkan rasa cemburu, jangan terbawa-bawa dengan sifatnya itu. Mungkin kita tidak perlu menjawab setiap soalan yang diajukan. Sebaliknya lebih baik berdiam diri sahaja daripada terus menyemarakkan kemarahannya. Anggaplah bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk melukai hati kita. Mungkin ini tidak disedarinya dan jangan ambil hati. 
 
    Cuba sedaya upaya untuk membina keyakinan diri padanya. Pujilah pasangan atau mintalah nasihatnya bila perlu dan sentiasa luahkan perasaan cinta yang membuktikan bahawa kita menyayanginya. Malah sebaiknya berikanlah dia sokongan yang berterusan agar dia merasa sentiasa disayangi dan dihargai. Jangan membabitkan diri dalam situasi yang boleh membuahkan perasaan cemburu bagi pasangan seperti suka berfoya-foya, berbual-bual mesra atau bergurau senda dengan orang lain. Berbincanglah dengan pasangan tentang perasaannya. Jika kita telah berusaha sedaya upaya tetapi pasangan tetap tidak boleh mengawal rasa cemburunya, kaunseling mungkin jalan terakhir untuk menyelamatkan keadaan. 
    ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Begitulah antara bait-bait lagu yang menceritakan asam garam kehidupan dalam rumahtangga. Cinta dan cemburu adalah seperti isi dengan kuku bagi mana-mana pasangan suami isteri. Yang penting adalah kesederhanaan. Maksudnya seseorang itu harus mempunyai rasa cemburu terhadap pasangan tetapi mestilah berpada. Jangan sampai pasangan merasa terkongkong dan dikongkong. Sebaliknya jadikanlah rasa cemburu itu sebagai alat untuk dapat memperbaiki sikap atau mengkoreksi diri sendiri terhadap sikap yang selama ini diamalkan. 
     Contohnya, bagi seorang isteri mahupun suami, adakah penampilan atau layanan yang selama ini diberikan memuaskan atau tidak. Adakah berlaku sesuatu kekurangan dalam diri yang sebenarnya mampu kita mengadakannya tetapi tidak kita adakan. Dengan sikap ini, kita akan sentiasa memperbaiki kualiti diri dan sentiasa memberikan layanan yang terbaik untuk pasangan supaya ia tidak terpikat kepada yang lain. Akhirnya, tidak perlu lagi terjadi perbalahan atau pertengkaran yang hebat.


    Dalam kehidupan kita seharian kita sering terlupa bahawa cemburu itu bersifat berkehendak dalam erti kata lain berkehendakkan pasangan kita tanpa mau berkongsi dengan org lain. Sesuatu yang bersifat berkehendak ini pula adalah nafsu kerana berkehendakkan makan adalah nafsu makan. Begitu juga dengan kehendak yang lain seperti tidur, kekayaan dan sebagainya. Jadi untuk mendidik cemburu ini kita semestinya harus mendidik nafsu kita dahulu.


    Mendidik nafsu sangat sukar kerana nafsu adalah sebahagian daripada diri manusia. Ia tidak boleh dipisahkan dan dihapuskan. Tetapi ia tetap musuh di dalam diri kita kerana ia memberi laluan kepada syaitan untuk menyesatkan manusia. Oleh itu, jika kita gagal mendidik nafsu, ertinya kita gagal mendidik diri kita dan orang lain. Inilah punca kegagalan para pendidik hari ini dalam mendidik manusia. Mereka susah hati kerana anak-anak murid tidak mengikut kata. 
 
Melawan nafsu
 
    Soalnya, bagaimana mereka boleh membetulkan orang lain jika mereka belum mampu membetulkan diri mereka sendiri? Jika tidak berjaya mendidik diri, mereka tidak akan berjaya mendidik orang lain. Inilah punca rosaknya masyarakat, yang bermula gagalnya mendidik nafsu. Hasilnya, makin cuba didik dan makin berubah korikulum pendidikan, masyarakat makin rosak. Ini tidak seharusnya berlaku. 

    Oleh kerana nafsu adalah sebahagian daripada badan, maka ia sangat sulit untuk dilawan. Tetapi usaha melawan nafsu mesti dilakukan. Jika tidak, manusia akan sentiasa terdorong untuk berbuat kejahatan dan kezaliman. Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”. Ini menunjukkan penekanan yang sungguh-sungguh bahawa nafsu membawa kepada kejahatan.
Nafsu adalah jalan atau highway bagi syaitan untuk merosakkan manusia. Ini diterangkan oleh Hadith Rasu­lullah s.a.w. yang ber­maksud: “Sesungguhnya syaitan itu bergerak mengikut aliran darah, maka persempitkan jalan syaitan itu melalui lapar dan dahaga (yakni puasa)”. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Anas). Ini menunjukkan syaitan boleh dilawan dengan melawan hawa nafsu secara bermujahadah mengurangkan makan atau berpuasa. Jika nafsu tidak terdidik, jalan syaitan merosakkan manusia adalah luas. Sedangkan syaitan juga adalah musuh ketat manusia. 

    Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu bagi manusia adalah musuh yang amat nyata”. Syaitan mendapat lorong (peluang) yang amat luas untuk merosakkan manusia jika nafsu tidak terdidik. Untuk mengalahkan syaitan mesti dengan mendidik hawa nafsu. Jika nafsu terdidik, jalan syaitan akan terputus. Cara menjampi mempergunakan ayat Al-Quran seperti ayat Kursi, Surah An-Nas dan lain-lain hanya boleh digunakan jika syaitan merosakkan atau mengganggu jasad lahir manusia. Memang ada nas yang membolehkannya. Tetapi jika syaitan telah merosakkan hati cara melawannya ialah dengan mendidik hawa nafsu. 

   Bila hati rosak, rosaklah seluruh anggota badan. Oleh kerana itu, didiklah nafsu yang ada di dalam diri kita. Perangilah nafsu nescaya se­cara automatik akan terperangilah syaitan. Jika syariat tidak difahami, kita tidak akan mengetahui sifat-sifat dan tindakan terhadap nafsu. Kita tidak akan tahu nafsu itu musuh, nafsu itu highway bagi syaitan dan kita tidak dapat menilai kehendak-kehendak nafsu sama ada yang boleh, tidak boleh, halal atau haram. Kita juga tidak akan tahu kejahatan nafsu dan sejauhmana nafsu telah dijinakkan pada peringkat-peringkatnya yang tujuh. 

    Mereka yang faham dan cuba mendidik nafsu akan dapat mengagak dan dapat merasa, sudah sampai ke tahap mana nafsu mereka ditingkatkan. Apakah masih di tahap nafsu ammarah atau lawwamah, atau sudah meningkat ke tahap nafsu mulhamah, mutmainnah, mardhiah, radhiah atau kamilah? Tegasnya, jika syariat tidak difahami, syarat-syarat yang lain tidak akan bererti apa-apa. 

Menderma
 
    Untuk menahan nafsu bukan mudah. Ia akan sangat menyiksa jiwa. Sebab kehendak nafsu walaupun negatif, adalah juga kehendak kita (kerana nafsu sebahagian daripada kita). Bayangkan, kita ingin melawan kehendak kita. Ini tentu menyeksakan. Contohnya, mereka yang sejak kecil menghisap rokok, bukan mudah hendak dibuang tabiat itu kerana ia sudah berdarah daging dan ketagih. Bila kita suluh dengan ilmu, ada kehendak-kehendak nafsu yang positif pada diri kita, maka hendaklah kita dorong dan perlajukan lagi (tambah ‘horse-power’nya) supaya kita dapat membuat kebaikan yang banyak.

Dorong nafsu 

    Dalam usaha menahan ke­hendak nafsu yang negatif dan mendorong kehendak nafsu yang positif, kita akan terasa kesusahannya. Inilah yang dinamakan mujahadah. Mujahadah hawa nafsu hendaklah dibuat secara istiqomah. Kita perlukan kesungguhan dan dorongan daripada fikiran dan seluruh tenaga lahir untuk mujahadah. Ertinya, perlu dikerahkan seluruh tentera dalam diri untuk maksud itu. Ia tidak boleh dibuat secara bermusim, kadang-kadang terikut kehendak nafsu yang negatif atau tidak lagi terdorong untuk laksanakan yang positif. Istiqamah sangat sukar kerana bila nafsu didorong kepada perkara-perkara positif, ada sesuatu yang terpaksa dikorbankan. Ini bukan mudah. 

   Misalnya, bukan mudah untuk menderma kerana akan ada keinginan kita pada satu-satu perkara yang terpaksa kita korbankan dengan menderma itu. Tetapi kita mesti terus bermujahadah, biar konsisten atau menjadi rutin. Tujuan kita beristiqomah ialah agar kebaikan yang dibuat dan kejahatan yang ditinggalkan menjadi tabiat. Bila dikatakan tabiat, ertinya ia sudah mesra betul dengan peribadi kita. Sudah tidak berat lagi. Misalnya terhadap kehendak nafsu yang negatif, spontan sahaja ditinggalkan. 
 
    Begitu juga bagi yang positif, terluncur sahaja dibuat, tanpa difikirkan dan tanpa perlu mujahadah lagi. Sepintas lalu, jika sudah memahami syariat, apa perlunya guru lagi. Bukankah semuanya sudah difahami? Tetapi perlu diingat, dalam ajaran Islam ada perkara-per­kara seni, halus yang bukan berbentuk lahiriah. Per- kara-perkara ini tidak boleh dilihat dengan mata biasa. Pada keadaan itulah guru sangat diperlukan. Misalnya, bila kita dorong nafsu pada perkara-perkara yang positif, katalah menderma, maka kita akan menderma berhabis-habisan kerana iaitulah yang digalakkan oleh syariat. Namun jika tidak diberi tunjuk ajar, kita mungkin akan berkorban hingga tidak ada satu pun yang tinggal pada keluarga sendiri. 

    Pada ketika inilah perlu ada guru yang memberi tunjuk ajar, panduan dan pimpinan. Kita perlu kerahkan seluruh tenaga dalam diri (lahir dan batin) untuk mendorong kehendak nafsu yang positif dan menahan kehendak nafsu yang negatif. Itulah yang dikatakan mujahadah melawan hawa nafsu. Dan ini memerlukan pendidikan dan latihan (tarbiyyah dan tamrin). 


Bersabar
 
    Misalnya, untuk mendapatkan sifat berani, perlulah dilatih. Begitu juga sifat sabar. Seseorang yang hanya duduk di rumah, tidak bergaul dengan masyarakat, diberi ilmu dan nas tentang sabar tetapi tidak didedahkan kepada realiti kehidupan, ertinya ia tidak dilatih untuk sabar. Kerana bila bergaul dengan masyarakat, barulah dia berdepan dengan cabaran. Dalam masyarakat, ada orang hasad dengki, pemarah dan lain-lain sifat yang mencabar kesabarannya. Bila ada cabaran, barulah ada tindakan. 

    Pakar-pakar pendidikan kita perlu memikirkan cara untuk mendedahkan murid-murid pada suasana masyarakat sebagai satu latihan yang amat berkesan bagi mendidik nafsu. Misalnya, bila berdepan dengan hal-hal yang negatif. Mereka boleh berlatih bersabar. Sebaliknya, bila berdepan perkara-perkara yang baik, mereka akan cuba untuk mencontohinya.Latihan ‘terjun’ ke tengah masyarakat juga penting supaya murid-murid tahan diuji. Bila berdepan dengan godaan, mereka tidak mudah ‘hanyut’. Ibarat kita membekalkan tentera dengan senjata dan dilatih mereka menggunakannya. Bila terjadi peperangan sebenar, mereka tidak akan mudah tewas. Justeru itu mesti ada latihan ‘berperang’ dengan hawa nafsu. Latihan-latihan kerja sambil membuat khidmat masyarakat seperti membasuh kolah masjid, membersihkan kubur dan lain-lain, perlu diterapkan pada murid-murid sejak di sekolah rendah lagi. 

     Kanak-kanak tidak boleh dimanjakan hingga tidak boleh dijentik telinganya. Sebab itu perlunya latihan-latihan begitu dengan tujuan mendidik. Jika cara ini ditempoh dengan sebaik-baiknya, barulah nafsu terdidik, insyaAllah. Bila nafsu terdidik ertinya separuh daripada diri telah terdidik kerana nafsu itu dikira sebahagian daripada diri.