Wednesday, October 30, 2013

Panggilan Haji dan Panggilan Izrail....




Seramai 16 orang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci kerana masalah kesihatan ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu. Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata segala urusan pengebumian dan sijil kematian diuruskan oleh Tabung Haji di sana dan kemudian dihantar kepada waris di negara ini. "Petugas Tabung Haji yang berada di Makkah akan memaklumkan kepada saya sekiranya ada jemaah haji kita yang meninggal di sana supaya pihak kita dapat memaklumkan kepada waris si mati," katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga seorang jemaah yang meninggal dunia di Makkah, di Kampung Pokok Pauh Dalam, Pokok Sena dekat sini hari ini.


Abdul Azeez menziarahi keluarga Allahyarham Jasin Taib, 73, yang meninggal dunia di Hospital King Abdulaziz di Jeddah pada Isnin lalu akibat sakit tua. Rombongan Tabung Haji hadir di kediaman keluarga Allahyarham bagi menyampaikan bantuan khairat kematian kepada anak sulung Allahyarham, Ghazali, 52. Abdul Azeez berkata Allahyarham merupakan jemaah ke-15 yang meninggal dunia di Makkah dan jenazah disemadikan di tanah perkuburan Syara’ik di Makkah.

Beliau berkata isteri arwah, Siti Aminah Abau, 70, dan anak bongsu, Abdul Rashid, 40, yang turut serta menunaikan haji akan pulang ke Malaysia pada 14 November ini. Abdul Azeez berkata setakat ini, lebih 2,000 jemaah haji Malaysia telah pulang ke Malaysia dan penerbangan terakhir bagi musim haji kali ini adalah pada 17 November. Sementara itu, Ghazali berkata arwah ayahnya sepatutnya menunaikan haji pada tahun lepas tetapi disebabkan kesihatannya tidak mengizinkan, tahun ini baru arwah boleh ke sana.
"Arwah ada penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sebelum berangkat, arwah sedikit bimbang untuk ke sana kerana tidak berapa sihat. Ayah dah lama simpan duit untuk ke Makkah. Dia bekerja buat bendang dan hasil duit itulah membolehkannya pergi menunaikan haji dengan mak," katanya. – Bernama, 27 Oktober, 2013.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Lazimnya jika seseorang meninggal dunia di Makkah, sudah tentu jenazahnya tidak akan dibawa pulang ke tanah air masing-masing. Sebaliknya terus dikebumikan di tanah suci Makkah. Bolehlah dianggap ini sebagai satu peluang yang Allah SWT berikan kepada kita untuk disemadikan di Makkah. Begitulah yang terjadi pada Paduka Ayahnda Atuk. Walau sejahat mana pun orang kata kelakuannya semasa didunia tetapi Allah mengkehendaki beliau amat rapat berehat dengan makam rasulallah maka beliau meninggal dan di makamkan disana juga. Alfatihah untuk Paduka Ayahnda Atuk.


MEKAH dan Madinah adalah dua kota suci dalam Islam. Di dalam al-Quran dan hadis, dua kota itu sering disebut juga dengan Tanah Haram (Al-Balad Al-Haram). Kata haram bererti larangan atau tegahan. Sebagai kawasan yang dimuliakan, tidak menghairankan jika Tanah Haram memiliki peraturan bagi orang-orang yang tinggal di dalamnya.
Salah satu peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah larangan bagi golongan bukan Islam memasuki Masjidilharam. Ia terkandung dalam firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 28 bermaksud:

“"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin, maka Allah akan memberikan kekayaan kepadamu dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." 

Berikut dipaparkan antara keistimewaan kedua-dua kota suci tersebut:

KOTA MEKAH

TERDAPAT satu ruangan tanah di planet bumi yang diistimewakan Allah. Ia adalah sebidang tanah seluas lebih kurang 540 kilometer persegi. Inilah tanah tempat Allah pertama kali meletakkan bangunan rumah-Nya di bumi, yakni Kaabah. Itulah juga sebagai tempat tumpuan kiblat manusia sejagat. Mekah di dalam al-Quran disebut berkali-kali dengan terminologi berbeza. Ini menunjukkan betapa kelebihan Mekah sangat banyak dibanding kota-kota lain di dunia ini.

Selain Mekah, di dalam al-Quran Allah menyebut kota suci ini sebagai Bakkah (lembah air mata), Ummul Qura (perkampungan tua), al-Balad (negeri), al-Balad al-Amin (negeri yang aman), al-Baddah (negeri), Haram Amin (tanah suci yang aman), Wad Ghairu Dzi Zar’in (lembah yang gersang) Ma’ad (tempat kembali), Qaryah (negeri/kampung), al-Masjid al-Haram dan lain-lain. Dalam buku Sejarah Mekah Dulu dan Kini, tulisan Dr.Muhammad Abdul Gani, Maktab Al-Malik Fahd, edisi kedua, Madinah 2003, disebutkan, beberapa kelebihan Mekah iaitu : 

* Tempat dibangunnya rumah Allah (Baitullah) pertama kali.
* Kota kelahiran Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman.
* Tempat pertemuan Adam dan Hawa yang mana setelah dikeluarkan dari syurga, mereka berdua hidup mengembara selama 200 tahun sehingga Allah mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah, Arafah.
* Tempat beribadah para hamba-Nya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya mengerjakan haji.
* Tempat yang tidak boleh seorangpun masuk ke dalamnya kecuali dengan kerendahan hati, khusyuk dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia.
* Tempat yang dijadikan Allah sebagai tanah suci yang aman, yang tidak boleh ada pertumpahan darah di sana.
* Tempat yang dimaksudkan untuk menghapus dosa-dosa masa lalu.
* Tempat yang Allah mensyariatkan kepada manusia untuk bertawaf di Kaabah.
* Tempat yang Allah mewajibkan bagi orang-orang yang mampu untuk mengunjunginya.
* Tempat yang tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hamba-hamba-Nya untuk menghadap dan melambaikan tangan, kecuali kepada Kaabah, Hajarul Aswad, Rukun Yamani yang adanya di kota Makkah.
* Tempat yang tidak ada di muka bumi ini suatu masjid pun, yang memiliki keistimewaan bagi siapa saja yang solat di dalamnya maka pahalanya akan dilipatgandakan 100,000 kali.
* Tempat yang dilarang oleh Allah untuk menghadap atau membelakanginya pada waktu buang hajat.
* Tempat yang Allah memberikan balasan bagi siapa saja yang berniat jahat, walaupun belum melakukannya. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya akan dilipatgandakan. Ia kerana melakukan kejahatan di tanah suci, lebih besar dosanya dibandingkan di tempat-tempat lain.
* Tempat-tempat yang mustajab bagi orang-orang yang berdoa di sana, misalnya di Hajar Aswad, di Rukun Yamani, di makam Ibrahim, di Hijir Ismail, di telaga Zamzam, di Arafah saat berwukuf dan lain-lain.
* Tempat di mana Allah pernah bersumpah atas nama negeri Mekah seperti dituturkan-Nya dalam surah At-Tiin, kalau tidak kerana istimewanya Mekah, Allah tentu tidak perlu mengangkat sumpah atas nama negeri yang sarat dengan sejarah itu;
* Tempat yang sentiasa dijaga para malaikat.
* Tempat adanya telaga zam-zam yang luar biasa.

MADINAH

SATU-SATUNYA tanah yang Rasulullah SAW sahkan boleh digunakan untuk mengubat penyakit dengan izin Allah SWT ialah tanah di kawasan tanah haram Madinah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda;
"‘‘Dengan nama Allah, debu tanah kita (yang dicampur) dengan air liur setengah daripada kita menyembuhkan dari penyakit kita dengan izin Allah."

Madinah merupakan salah satu dari dua kota suci Islam yang dikawal para malaikat sepanjang masa. Kawalan yang dibuat itu ialah bagi menghindari penyakit taun dan serangan Dajjal. Seperti yang kita tahu bahawa di akhir zaman kelak, Dajjal akan muncul di setiap kota dan desa. Namun begitu Madinah dan Mekah tidak dapat dimasuki Dajjal kerana ia dikawal oleh para makaikat yang diutus Allah SWT. bagi tujuan tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut Rasulullah SAW bersabda bahawa Dajjal akan muncul di setiap kota melainkan Madinah dan Makkah. Dia tidak dapat masuk kerana malaikat akan melindungi kedua-dua kota itu.

Tentang kawalan taun pula, sebuah hadis daripada Al-Bukhari meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW bermimpi mengenai Madinah. Baginda kemudiannya bersabda yang bermaksud:

"‘Aku melihat seorang perempuan kulit hitam dengan rambut kusut masai keluar dari Madinah dan dia singgah di Mahyaah. Aku mentafsirkannya sebagai taun Madinah yang telah dipindahkan ke Mahyaah iaitu Juhfa’."

Setelah faham dgn kelebihan dua kota suci itu disini Atuk nak kongsi sedikit pasal pemakaman di Makkah ni. Kebiasaannya rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Makkah terutamanya sewaktu mereka sedang mengerjakan ibadah umrah atau ibadah haji.  Beginilah ‘perjalanan’ yang perlu anda lalui sekiranya anda meninggal dunia di Makkah. Di sini, anda disemadikan tanpa batu nisan, memungkinkan tiada ahli keluarga yang dapat menziarahi anda di kemudian hari di sebabkan lokasi kubur anda tidak diketahui.


Bolehkah kita bercita-cita untuk mati di Makkah atau Madinah? Dalam sebuah hadith Nabi SAW ada disebut:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mampu untuk mati di Madinah maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati di sana.” (riwayat Ahmad dan At-Tirmizi).

Menurut riwayat al-Tabarani, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: 

“Sesiapa antara kamu yang mungkin mampu untuk meninggal dunia di Madinah, meninggallah di sana”.

“Sesungguhnya sesiapa yang meninggal dunia di sana, aku menjadi saksi atau pemberi syafaah kepadanya pada hari kiamat.” (Sabiq, 2000: I: 522-24)

Ini menunjukkan satu perkara yang diharuskan oleh Islam, di mana ulama telah mengistinbat (mengeluarkan) hukum dari hadith tersebut seperti yang dijelaskan oleh Al-Imam An-Nawawi, Ibnu Hajar dan lain-lain bahawasanya HARUS untuk berniat untuk mati di tempat yang baik dan dalam keadaan yang baik. Apatah lagi di Madinatul Munawwarah, ganjarannya sangat jelas iaitu Nabi akan memberi syafaat. Jadi kita berdoa kepada ALLAH SWT agar kita mati di dalam keadaan yang baik dan di tempat (Makkah,Madinah) yang baik. 




Gambar-gambar yang Atuk sertakan disini menunjukkan antara proses yang dilakukan jika terdapat jenazah yang meninggal dunia di Makkah.


Di dalam Ihya’Ulumuddin, disebut bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya :

Barang siapa keluar untuk menunaikan ibadah haji atau umrah lalu meninggal dunia, maka baginya diberlakukan pahala berhaji dan berumrah hingga hari kiamat. Dan barang siapa meninggal dunia di salah satu tanah suci, maka kelak dia tidak diadili dan tidak pula dihisab, melainkan dikatakan kepadanya, ‘Masuklah ke dalam syurga’


Menurut saudara Atuk, jenazah jemaah haji Malaysia biasanya diuruskan oleh pelajar2 kita yang menuntut disana dengan kerjasama Lembaga Urusan Tabung Haji dan Kedutaan Malaysia. Semoga kita termasuk di kalangan yang bernasib baik di beri peluang untuk disemadikan di tanah suci Makkah atau Madinah…amiin.

No comments:

Post a Comment