Tuesday, October 1, 2013

Cemburu itu Nafsu..



Assalamualaikum wbt buat seluruh penduduk langit dan bumi. Sakit2 badan Atuk tak hilang lagi sebab berpuluh kali naik turun tangga yang curam semalam. Dalam mengeliat-ngeliat tu tetiba Datin Paduka kesayangan dok tanya Atuk tentang cemburu ni. Kebetulan anak murid Atuk dalam 4-5 hari lepas dok berkeluh kesah sebab isterinya pun buat benda yang sama iaitu cemburu. Maka datanglah ilham Atuk untuk menulis pasal cemburu ni selepas Atuk habis settlekan satu kes sihir di negeri di bawah bayu.

    Definisi cemburu menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih. Kecemburuan juga boleh wujud dalam persahabatan atau antara adik-beradik seperti kakak dengan adik kandungnya. 

    Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap orang yang dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang berkata ‘cemburu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan. 

    Mungkin ini ada benarnya kerana jika kita tidak sayang pada seseorang mengapa mesti kita merasa cemburu terhadapnya. Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia yang amat sukar untuk dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’ seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan jelas (tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk dirinya sahaja dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan orang lain. Namun begitu sifat terlampau cemburu yang mencapai tahap ‘cemburu buta’ amat tidak digalakkan kerana ia boleh menggugat hubungan sesebuah rumahtangga begitu juga ketiadaan langsung sifat cemburu pula sebenarnya boleh membawa akibat buruk kerana ia boleh menjadi punca pasangan ‘mudah dikebas orang’. Dengan itu terdapat dua jenis cemburu iaitu cemburu yang positif dan cemburu yang negatif. 

    Bila berbicara tentang cemburu juga, ramai menuding jari mengaitkannya dengan kaum hawa di mana mereka beranggapan bahawa kaum wanita ini sangat kuat cemburunya. Dalam soal ini, sebenarnya sama ada lelaki mahupun wanita masing-masing mempunyai sifat cemburu. Cuma yang membezakannya ialah tahap cemburu tersebut dan sejauh manakah perasaan cemburu itu berjaya dikawal. 


      Dalam hubungan suami isteri, sifat cemburu wajib dikawal. Jika tidak klimaksnya nanti boleh membawa kepada putusnya sesuatu ikatan perkahwinan itu (bercerai). Dalam hal ini rasa cemburu acapkali membuatkan seseorang berubah menjadi orang yang selalu curiga dan sentiasa berprasangka buruk. Hakikatnya dia sedar bahawa sikap cemburunya itu kurang menyenangkan pasangannya tetapi dia tidak mampu mengawalnya. Dia merasakan bahawa apa yang dilakukan semuanya betul dan sentiasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya hatta perkara yang kecil sekalipun sehingga mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran yang menggugat kemesraan yang terjalin sebelumnya. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan, seseorang itu apabila dapat melihat tanda-tanda awal cemburu pada pasangannya, hendaklah bertindak segera agar tidak merebak. 



    Jika pasangan kita mula menunjukkan rasa cemburu, jangan terbawa-bawa dengan sifatnya itu. Mungkin kita tidak perlu menjawab setiap soalan yang diajukan. Sebaliknya lebih baik berdiam diri sahaja daripada terus menyemarakkan kemarahannya. Anggaplah bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk melukai hati kita. Mungkin ini tidak disedarinya dan jangan ambil hati. 
 
    Cuba sedaya upaya untuk membina keyakinan diri padanya. Pujilah pasangan atau mintalah nasihatnya bila perlu dan sentiasa luahkan perasaan cinta yang membuktikan bahawa kita menyayanginya. Malah sebaiknya berikanlah dia sokongan yang berterusan agar dia merasa sentiasa disayangi dan dihargai. Jangan membabitkan diri dalam situasi yang boleh membuahkan perasaan cemburu bagi pasangan seperti suka berfoya-foya, berbual-bual mesra atau bergurau senda dengan orang lain. Berbincanglah dengan pasangan tentang perasaannya. Jika kita telah berusaha sedaya upaya tetapi pasangan tetap tidak boleh mengawal rasa cemburunya, kaunseling mungkin jalan terakhir untuk menyelamatkan keadaan. 
    ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Begitulah antara bait-bait lagu yang menceritakan asam garam kehidupan dalam rumahtangga. Cinta dan cemburu adalah seperti isi dengan kuku bagi mana-mana pasangan suami isteri. Yang penting adalah kesederhanaan. Maksudnya seseorang itu harus mempunyai rasa cemburu terhadap pasangan tetapi mestilah berpada. Jangan sampai pasangan merasa terkongkong dan dikongkong. Sebaliknya jadikanlah rasa cemburu itu sebagai alat untuk dapat memperbaiki sikap atau mengkoreksi diri sendiri terhadap sikap yang selama ini diamalkan. 
     Contohnya, bagi seorang isteri mahupun suami, adakah penampilan atau layanan yang selama ini diberikan memuaskan atau tidak. Adakah berlaku sesuatu kekurangan dalam diri yang sebenarnya mampu kita mengadakannya tetapi tidak kita adakan. Dengan sikap ini, kita akan sentiasa memperbaiki kualiti diri dan sentiasa memberikan layanan yang terbaik untuk pasangan supaya ia tidak terpikat kepada yang lain. Akhirnya, tidak perlu lagi terjadi perbalahan atau pertengkaran yang hebat.


    Dalam kehidupan kita seharian kita sering terlupa bahawa cemburu itu bersifat berkehendak dalam erti kata lain berkehendakkan pasangan kita tanpa mau berkongsi dengan org lain. Sesuatu yang bersifat berkehendak ini pula adalah nafsu kerana berkehendakkan makan adalah nafsu makan. Begitu juga dengan kehendak yang lain seperti tidur, kekayaan dan sebagainya. Jadi untuk mendidik cemburu ini kita semestinya harus mendidik nafsu kita dahulu.


    Mendidik nafsu sangat sukar kerana nafsu adalah sebahagian daripada diri manusia. Ia tidak boleh dipisahkan dan dihapuskan. Tetapi ia tetap musuh di dalam diri kita kerana ia memberi laluan kepada syaitan untuk menyesatkan manusia. Oleh itu, jika kita gagal mendidik nafsu, ertinya kita gagal mendidik diri kita dan orang lain. Inilah punca kegagalan para pendidik hari ini dalam mendidik manusia. Mereka susah hati kerana anak-anak murid tidak mengikut kata. 
 
Melawan nafsu
 
    Soalnya, bagaimana mereka boleh membetulkan orang lain jika mereka belum mampu membetulkan diri mereka sendiri? Jika tidak berjaya mendidik diri, mereka tidak akan berjaya mendidik orang lain. Inilah punca rosaknya masyarakat, yang bermula gagalnya mendidik nafsu. Hasilnya, makin cuba didik dan makin berubah korikulum pendidikan, masyarakat makin rosak. Ini tidak seharusnya berlaku. 

    Oleh kerana nafsu adalah sebahagian daripada badan, maka ia sangat sulit untuk dilawan. Tetapi usaha melawan nafsu mesti dilakukan. Jika tidak, manusia akan sentiasa terdorong untuk berbuat kejahatan dan kezaliman. Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”. Ini menunjukkan penekanan yang sungguh-sungguh bahawa nafsu membawa kepada kejahatan.
Nafsu adalah jalan atau highway bagi syaitan untuk merosakkan manusia. Ini diterangkan oleh Hadith Rasu­lullah s.a.w. yang ber­maksud: “Sesungguhnya syaitan itu bergerak mengikut aliran darah, maka persempitkan jalan syaitan itu melalui lapar dan dahaga (yakni puasa)”. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Anas). Ini menunjukkan syaitan boleh dilawan dengan melawan hawa nafsu secara bermujahadah mengurangkan makan atau berpuasa. Jika nafsu tidak terdidik, jalan syaitan merosakkan manusia adalah luas. Sedangkan syaitan juga adalah musuh ketat manusia. 

    Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu bagi manusia adalah musuh yang amat nyata”. Syaitan mendapat lorong (peluang) yang amat luas untuk merosakkan manusia jika nafsu tidak terdidik. Untuk mengalahkan syaitan mesti dengan mendidik hawa nafsu. Jika nafsu terdidik, jalan syaitan akan terputus. Cara menjampi mempergunakan ayat Al-Quran seperti ayat Kursi, Surah An-Nas dan lain-lain hanya boleh digunakan jika syaitan merosakkan atau mengganggu jasad lahir manusia. Memang ada nas yang membolehkannya. Tetapi jika syaitan telah merosakkan hati cara melawannya ialah dengan mendidik hawa nafsu. 

   Bila hati rosak, rosaklah seluruh anggota badan. Oleh kerana itu, didiklah nafsu yang ada di dalam diri kita. Perangilah nafsu nescaya se­cara automatik akan terperangilah syaitan. Jika syariat tidak difahami, kita tidak akan mengetahui sifat-sifat dan tindakan terhadap nafsu. Kita tidak akan tahu nafsu itu musuh, nafsu itu highway bagi syaitan dan kita tidak dapat menilai kehendak-kehendak nafsu sama ada yang boleh, tidak boleh, halal atau haram. Kita juga tidak akan tahu kejahatan nafsu dan sejauhmana nafsu telah dijinakkan pada peringkat-peringkatnya yang tujuh. 

    Mereka yang faham dan cuba mendidik nafsu akan dapat mengagak dan dapat merasa, sudah sampai ke tahap mana nafsu mereka ditingkatkan. Apakah masih di tahap nafsu ammarah atau lawwamah, atau sudah meningkat ke tahap nafsu mulhamah, mutmainnah, mardhiah, radhiah atau kamilah? Tegasnya, jika syariat tidak difahami, syarat-syarat yang lain tidak akan bererti apa-apa. 

Menderma
 
    Untuk menahan nafsu bukan mudah. Ia akan sangat menyiksa jiwa. Sebab kehendak nafsu walaupun negatif, adalah juga kehendak kita (kerana nafsu sebahagian daripada kita). Bayangkan, kita ingin melawan kehendak kita. Ini tentu menyeksakan. Contohnya, mereka yang sejak kecil menghisap rokok, bukan mudah hendak dibuang tabiat itu kerana ia sudah berdarah daging dan ketagih. Bila kita suluh dengan ilmu, ada kehendak-kehendak nafsu yang positif pada diri kita, maka hendaklah kita dorong dan perlajukan lagi (tambah ‘horse-power’nya) supaya kita dapat membuat kebaikan yang banyak.

Dorong nafsu 

    Dalam usaha menahan ke­hendak nafsu yang negatif dan mendorong kehendak nafsu yang positif, kita akan terasa kesusahannya. Inilah yang dinamakan mujahadah. Mujahadah hawa nafsu hendaklah dibuat secara istiqomah. Kita perlukan kesungguhan dan dorongan daripada fikiran dan seluruh tenaga lahir untuk mujahadah. Ertinya, perlu dikerahkan seluruh tentera dalam diri untuk maksud itu. Ia tidak boleh dibuat secara bermusim, kadang-kadang terikut kehendak nafsu yang negatif atau tidak lagi terdorong untuk laksanakan yang positif. Istiqamah sangat sukar kerana bila nafsu didorong kepada perkara-perkara positif, ada sesuatu yang terpaksa dikorbankan. Ini bukan mudah. 

   Misalnya, bukan mudah untuk menderma kerana akan ada keinginan kita pada satu-satu perkara yang terpaksa kita korbankan dengan menderma itu. Tetapi kita mesti terus bermujahadah, biar konsisten atau menjadi rutin. Tujuan kita beristiqomah ialah agar kebaikan yang dibuat dan kejahatan yang ditinggalkan menjadi tabiat. Bila dikatakan tabiat, ertinya ia sudah mesra betul dengan peribadi kita. Sudah tidak berat lagi. Misalnya terhadap kehendak nafsu yang negatif, spontan sahaja ditinggalkan. 
 
    Begitu juga bagi yang positif, terluncur sahaja dibuat, tanpa difikirkan dan tanpa perlu mujahadah lagi. Sepintas lalu, jika sudah memahami syariat, apa perlunya guru lagi. Bukankah semuanya sudah difahami? Tetapi perlu diingat, dalam ajaran Islam ada perkara-per­kara seni, halus yang bukan berbentuk lahiriah. Per- kara-perkara ini tidak boleh dilihat dengan mata biasa. Pada keadaan itulah guru sangat diperlukan. Misalnya, bila kita dorong nafsu pada perkara-perkara yang positif, katalah menderma, maka kita akan menderma berhabis-habisan kerana iaitulah yang digalakkan oleh syariat. Namun jika tidak diberi tunjuk ajar, kita mungkin akan berkorban hingga tidak ada satu pun yang tinggal pada keluarga sendiri. 

    Pada ketika inilah perlu ada guru yang memberi tunjuk ajar, panduan dan pimpinan. Kita perlu kerahkan seluruh tenaga dalam diri (lahir dan batin) untuk mendorong kehendak nafsu yang positif dan menahan kehendak nafsu yang negatif. Itulah yang dikatakan mujahadah melawan hawa nafsu. Dan ini memerlukan pendidikan dan latihan (tarbiyyah dan tamrin). 


Bersabar
 
    Misalnya, untuk mendapatkan sifat berani, perlulah dilatih. Begitu juga sifat sabar. Seseorang yang hanya duduk di rumah, tidak bergaul dengan masyarakat, diberi ilmu dan nas tentang sabar tetapi tidak didedahkan kepada realiti kehidupan, ertinya ia tidak dilatih untuk sabar. Kerana bila bergaul dengan masyarakat, barulah dia berdepan dengan cabaran. Dalam masyarakat, ada orang hasad dengki, pemarah dan lain-lain sifat yang mencabar kesabarannya. Bila ada cabaran, barulah ada tindakan. 

    Pakar-pakar pendidikan kita perlu memikirkan cara untuk mendedahkan murid-murid pada suasana masyarakat sebagai satu latihan yang amat berkesan bagi mendidik nafsu. Misalnya, bila berdepan dengan hal-hal yang negatif. Mereka boleh berlatih bersabar. Sebaliknya, bila berdepan perkara-perkara yang baik, mereka akan cuba untuk mencontohinya.Latihan ‘terjun’ ke tengah masyarakat juga penting supaya murid-murid tahan diuji. Bila berdepan dengan godaan, mereka tidak mudah ‘hanyut’. Ibarat kita membekalkan tentera dengan senjata dan dilatih mereka menggunakannya. Bila terjadi peperangan sebenar, mereka tidak akan mudah tewas. Justeru itu mesti ada latihan ‘berperang’ dengan hawa nafsu. Latihan-latihan kerja sambil membuat khidmat masyarakat seperti membasuh kolah masjid, membersihkan kubur dan lain-lain, perlu diterapkan pada murid-murid sejak di sekolah rendah lagi. 

     Kanak-kanak tidak boleh dimanjakan hingga tidak boleh dijentik telinganya. Sebab itu perlunya latihan-latihan begitu dengan tujuan mendidik. Jika cara ini ditempoh dengan sebaik-baiknya, barulah nafsu terdidik, insyaAllah. Bila nafsu terdidik ertinya separuh daripada diri telah terdidik kerana nafsu itu dikira sebahagian daripada diri. 

No comments:

Post a Comment