Daripada Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW
bersabda:
Maksudnya: “Janganlah
saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan
janganlah sebahagian kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain.
Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara
bagi muslim yang lain. Dia tidak patut menzalimi, membohongi, dan
merendahkannya. Takwa itu di sini (beliau menunjukkan dadanya tiga kali).
Cukuplah seseorang dikatakan buruk jika sampai menghina saudaranya
sesama setiap Muslim adalah haram bagi Muslim yang lain.” (Riwayat Ahmad dan
Muslim)
Tanda mudah untuk mengesan penyakit ini adalah seseorang itu
merasa susah hati apabila melihat kesenangan yang dinikmati oleh orang lain
sebaliknya seronok apabila melihat orang lain mendapat kesusahan.
Hasad adalah kalimah bahasa Arab yang bermaksud dengki.
Dalam laras bahasa Melayu, kedua-dua kalimah Arab dan Melayu ini digabungkan,
mungkin sebagai kata penguat kepada kalimah pertama.
Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki sentiasa berada
dalam keadaan resah serta gelisah. Antaranya disebabkan tidak senang dengan
kejayaan orang lain yang maju terus kehadapan. Penyakit ini umpama satu virus bahaya
yang telah merebak ke seluruh hati-hati sehingga sukar diubati.
Benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW: Akan menjalar
kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu
sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur
agama. (riwayat At-Tirmidzi).
Hasad hukumnya haram dan termasuk dalam kategori dosa-dosa
besar. Orang yang memiliki sifat ini dikira memiliki akhlak yang tercela. Malah
sifat hasad dengki ini merupakan salah satu sifat iblis. Sifat hasad dengki bukan sahaja boleh membahayakan fizikal
malah lebih bahaya daripada itu ia boleh merosakkan agama.
Allah berfirman: Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya
mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya.
(al-Imran: 120).
Lantaran sifat hasad dengki ini kesannya sangat buruk maka
Allah memerintahkan kita berlindung daripada keburukannya sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud: Dan dari kejahatan pendengki apabila ia dengki.
(al-Falaq: 5).
No comments:
Post a Comment