Assalamualaikum wbt buat seluruh penduduk langit dan bumi. Sakit2 badan Atuk tak hilang lagi sebab berpuluh kali naik turun tangga yang curam semalam. Dalam mengeliat-ngeliat tu tetiba Datin Paduka kesayangan dok tanya Atuk tentang cemburu ni. Kebetulan anak murid Atuk dalam 4-5 hari lepas dok berkeluh kesah sebab isterinya pun buat benda yang sama iaitu cemburu. Maka datanglah ilham Atuk untuk menulis pasal cemburu ni selepas Atuk habis settlekan satu kes sihir di negeri di bawah bayu.
Definisi cemburu
menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang
lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang dicintai, seperti suami,
isteri atau kekasih. Kecemburuan juga boleh wujud dalam persahabatan atau
antara adik-beradik seperti kakak dengan adik kandungnya.
Cemburu dapat
dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap orang yang
dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang berkata ‘cemburu
tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa cemburu adalah satu
standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan.
Mungkin ini ada
benarnya kerana jika kita tidak sayang pada seseorang mengapa mesti kita
merasa cemburu terhadapnya. Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia
yang amat sukar untuk dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’
seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan jelas
(tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk dirinya sahaja
dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan orang lain. Namun
begitu sifat terlampau cemburu yang mencapai tahap ‘cemburu buta’ amat tidak digalakkan
kerana ia boleh menggugat hubungan sesebuah rumahtangga begitu juga ketiadaan
langsung sifat cemburu pula sebenarnya boleh membawa akibat buruk kerana ia boleh
menjadi punca pasangan ‘mudah dikebas orang’. Dengan itu terdapat dua jenis
cemburu iaitu cemburu yang positif dan cemburu yang negatif.
Bila berbicara
tentang cemburu juga, ramai menuding jari mengaitkannya dengan kaum hawa di
mana mereka beranggapan bahawa kaum wanita ini sangat kuat cemburunya. Dalam
soal ini, sebenarnya sama ada lelaki mahupun wanita masing-masing mempunyai
sifat cemburu. Cuma yang membezakannya ialah tahap cemburu tersebut dan sejauh manakah
perasaan cemburu itu berjaya dikawal.
Dalam hubungan
suami isteri, sifat cemburu wajib dikawal. Jika tidak klimaksnya nanti boleh
membawa kepada putusnya sesuatu ikatan perkahwinan itu (bercerai). Dalam hal
ini rasa cemburu acapkali membuatkan seseorang berubah menjadi orang yang
selalu curiga dan sentiasa berprasangka buruk. Hakikatnya dia sedar bahawa
sikap cemburunya itu
kurang menyenangkan pasangannya tetapi dia tidak mampu mengawalnya. Dia
merasakan bahawa apa yang dilakukan semuanya betul dan sentiasa ingin tahu apa
yang dilakukan oleh pasangannya hatta perkara yang kecil
sekalipun sehingga mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran yang menggugat
kemesraan yang terjalin sebelumnya. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan,
seseorang itu apabila dapat melihat tanda-tanda awal cemburu pada pasangannya,
hendaklah bertindak segera agar tidak merebak.
Jika pasangan
kita mula menunjukkan rasa cemburu, jangan terbawa-bawa dengan sifatnya itu.
Mungkin kita tidak perlu menjawab setiap soalan yang diajukan. Sebaliknya lebih
baik berdiam diri sahaja daripada terus menyemarakkan kemarahannya. Anggaplah
bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk melukai hati kita. Mungkin ini tidak
disedarinya dan jangan ambil hati.
Cuba sedaya
upaya untuk membina keyakinan diri padanya. Pujilah pasangan atau mintalah
nasihatnya bila perlu dan sentiasa luahkan perasaan cinta yang membuktikan
bahawa kita menyayanginya. Malah sebaiknya berikanlah dia sokongan yang
berterusan agar dia merasa sentiasa disayangi dan dihargai. Jangan membabitkan
diri dalam situasi yang boleh membuahkan perasaan cemburu bagi pasangan seperti
suka berfoya-foya, berbual-bual mesra atau bergurau senda dengan orang lain. Berbincanglah
dengan pasangan tentang perasaannya. Jika kita telah berusaha sedaya upaya
tetapi pasangan tetap tidak boleh mengawal rasa cemburunya, kaunseling mungkin
jalan terakhir untuk menyelamatkan keadaan.
‘Sedangkan
lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Begitulah antara bait-bait lagu yang
menceritakan asam garam kehidupan dalam rumahtangga. Cinta dan cemburu adalah
seperti isi dengan kuku bagi mana-mana pasangan suami isteri. Yang penting
adalah kesederhanaan. Maksudnya seseorang itu harus mempunyai rasa cemburu
terhadap pasangan tetapi mestilah berpada. Jangan sampai pasangan merasa
terkongkong dan dikongkong. Sebaliknya jadikanlah rasa cemburu itu sebagai alat
untuk dapat memperbaiki sikap atau mengkoreksi diri sendiri terhadap sikap yang
selama ini diamalkan.
Contohnya, bagi
seorang isteri mahupun suami, adakah penampilan atau layanan yang selama ini diberikan
memuaskan atau tidak. Adakah berlaku sesuatu kekurangan dalam diri yang
sebenarnya mampu kita mengadakannya tetapi tidak kita adakan. Dengan sikap ini, kita
akan sentiasa memperbaiki kualiti diri dan sentiasa memberikan layanan yang
terbaik untuk pasangan supaya ia tidak terpikat kepada yang lain. Akhirnya, tidak
perlu lagi terjadi perbalahan atau pertengkaran yang hebat.
Dalam kehidupan
kita seharian kita sering terlupa bahawa cemburu itu bersifat berkehendak dalam
erti kata lain berkehendakkan pasangan kita tanpa mau berkongsi dengan org
lain. Sesuatu yang bersifat berkehendak ini pula adalah nafsu kerana
berkehendakkan makan adalah nafsu makan. Begitu juga dengan kehendak yang lain
seperti tidur, kekayaan dan sebagainya. Jadi untuk mendidik cemburu ini kita
semestinya harus mendidik nafsu kita dahulu.
Mendidik nafsu sangat sukar
kerana nafsu adalah sebahagian daripada diri manusia. Ia tidak boleh dipisahkan
dan dihapuskan. Tetapi ia tetap musuh di dalam diri kita kerana ia memberi
laluan kepada syaitan untuk menyesatkan manusia. Oleh itu, jika kita gagal
mendidik nafsu, ertinya kita gagal mendidik diri kita dan orang lain. Inilah
punca kegagalan para pendidik hari ini dalam mendidik manusia. Mereka susah
hati kerana anak-anak murid tidak mengikut kata.
Melawan nafsu
Soalnya, bagaimana mereka
boleh membetulkan orang lain jika mereka belum mampu membetulkan diri mereka
sendiri? Jika tidak berjaya mendidik diri, mereka tidak akan berjaya mendidik
orang lain. Inilah punca rosaknya masyarakat, yang bermula gagalnya mendidik
nafsu. Hasilnya, makin cuba didik dan makin berubah korikulum pendidikan,
masyarakat makin rosak. Ini tidak seharusnya berlaku.
Oleh kerana nafsu adalah
sebahagian daripada badan, maka ia sangat sulit untuk dilawan. Tetapi usaha
melawan nafsu mesti dilakukan. Jika tidak, manusia akan sentiasa terdorong
untuk berbuat kejahatan dan kezaliman. Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah
Yusuf ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada
kejahatan”. Ini menunjukkan penekanan yang sungguh-sungguh bahawa nafsu membawa
kepada kejahatan.
Nafsu adalah jalan atau
highway bagi syaitan untuk merosakkan manusia. Ini diterangkan oleh Hadith Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu bergerak mengikut aliran
darah, maka persempitkan jalan syaitan itu melalui lapar dan dahaga (yakni
puasa)”. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Anas). Ini menunjukkan
syaitan boleh dilawan dengan melawan hawa nafsu secara bermujahadah
mengurangkan makan atau berpuasa. Jika nafsu tidak terdidik, jalan syaitan
merosakkan manusia adalah luas. Sedangkan syaitan juga adalah musuh ketat
manusia.
Firman Allah dalam surah
Al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu bagi manusia adalah
musuh yang amat nyata”. Syaitan mendapat lorong (peluang) yang amat luas untuk
merosakkan manusia jika nafsu tidak terdidik. Untuk mengalahkan syaitan mesti
dengan mendidik hawa nafsu. Jika nafsu terdidik, jalan syaitan akan terputus.
Cara menjampi mempergunakan ayat Al-Quran seperti ayat Kursi, Surah An-Nas dan
lain-lain hanya boleh digunakan jika syaitan merosakkan atau mengganggu jasad
lahir manusia. Memang ada nas yang membolehkannya. Tetapi jika syaitan telah
merosakkan hati cara melawannya ialah dengan mendidik hawa nafsu.
Bila hati rosak, rosaklah
seluruh anggota badan. Oleh kerana itu, didiklah nafsu yang ada di dalam diri
kita. Perangilah nafsu nescaya secara automatik akan terperangilah syaitan.
Jika syariat tidak difahami, kita tidak akan mengetahui sifat-sifat dan
tindakan terhadap nafsu. Kita tidak akan tahu nafsu itu musuh, nafsu itu
highway bagi syaitan dan kita tidak dapat menilai kehendak-kehendak nafsu sama
ada yang boleh, tidak boleh, halal atau haram. Kita juga tidak akan tahu
kejahatan nafsu dan sejauhmana nafsu telah dijinakkan pada
peringkat-peringkatnya yang tujuh.
Mereka yang faham dan cuba
mendidik nafsu akan dapat mengagak dan dapat merasa, sudah sampai ke tahap mana
nafsu mereka ditingkatkan. Apakah masih di tahap nafsu ammarah atau lawwamah,
atau sudah meningkat ke tahap nafsu mulhamah, mutmainnah, mardhiah, radhiah
atau kamilah? Tegasnya, jika syariat tidak difahami, syarat-syarat yang lain
tidak akan bererti apa-apa.
Untuk menahan nafsu bukan
mudah. Ia akan sangat menyiksa jiwa. Sebab kehendak nafsu walaupun negatif,
adalah juga kehendak kita (kerana nafsu sebahagian daripada kita). Bayangkan,
kita ingin melawan kehendak kita. Ini tentu menyeksakan. Contohnya, mereka yang
sejak kecil menghisap rokok, bukan mudah hendak dibuang tabiat itu kerana ia
sudah berdarah daging dan ketagih. Bila kita suluh dengan ilmu, ada
kehendak-kehendak nafsu yang positif pada diri kita, maka hendaklah kita dorong
dan perlajukan lagi (tambah ‘horse-power’nya) supaya kita dapat membuat
kebaikan yang banyak.
Dorong nafsu
Dalam usaha menahan kehendak
nafsu yang negatif dan mendorong kehendak nafsu yang positif, kita akan terasa
kesusahannya. Inilah yang dinamakan mujahadah. Mujahadah hawa nafsu hendaklah
dibuat secara istiqomah. Kita perlukan kesungguhan dan dorongan daripada
fikiran dan seluruh tenaga lahir untuk mujahadah. Ertinya, perlu dikerahkan
seluruh tentera dalam diri untuk maksud itu. Ia tidak boleh dibuat secara
bermusim, kadang-kadang terikut kehendak nafsu yang negatif atau tidak lagi
terdorong untuk laksanakan yang positif. Istiqamah sangat sukar kerana
bila nafsu didorong kepada perkara-perkara positif, ada sesuatu yang terpaksa
dikorbankan. Ini bukan mudah.
Misalnya, bukan mudah untuk menderma kerana akan
ada keinginan kita pada satu-satu perkara yang terpaksa kita korbankan dengan
menderma itu. Tetapi kita mesti terus bermujahadah, biar konsisten atau menjadi
rutin. Tujuan kita beristiqomah ialah agar kebaikan yang dibuat dan kejahatan
yang ditinggalkan menjadi tabiat. Bila dikatakan tabiat, ertinya ia sudah mesra
betul dengan peribadi kita. Sudah tidak berat lagi. Misalnya terhadap kehendak
nafsu yang negatif, spontan sahaja ditinggalkan.
Begitu juga bagi yang
positif, terluncur sahaja dibuat, tanpa difikirkan dan tanpa perlu mujahadah
lagi. Sepintas lalu, jika sudah memahami syariat, apa perlunya guru lagi.
Bukankah semuanya sudah difahami? Tetapi perlu diingat, dalam ajaran Islam ada
perkara-perkara seni, halus yang bukan berbentuk lahiriah. Per- kara-perkara
ini tidak boleh dilihat dengan mata biasa. Pada keadaan itulah guru sangat
diperlukan. Misalnya, bila kita dorong nafsu pada perkara-perkara yang positif,
katalah menderma, maka kita akan menderma berhabis-habisan kerana iaitulah yang
digalakkan oleh syariat. Namun jika tidak diberi tunjuk ajar, kita mungkin akan
berkorban hingga tidak ada satu pun yang tinggal pada keluarga sendiri.
Pada ketika inilah perlu ada
guru yang memberi tunjuk ajar, panduan dan pimpinan. Kita perlu kerahkan
seluruh tenaga dalam diri (lahir dan batin) untuk mendorong kehendak nafsu yang
positif dan menahan kehendak nafsu yang negatif. Itulah yang dikatakan
mujahadah melawan hawa nafsu. Dan ini memerlukan pendidikan dan latihan
(tarbiyyah dan tamrin).
Bersabar
Misalnya, untuk mendapatkan
sifat berani, perlulah dilatih. Begitu juga sifat sabar. Seseorang yang hanya
duduk di rumah, tidak bergaul dengan masyarakat, diberi ilmu dan nas tentang
sabar tetapi tidak didedahkan kepada realiti kehidupan, ertinya ia tidak
dilatih untuk sabar. Kerana bila bergaul dengan masyarakat, barulah dia berdepan
dengan cabaran. Dalam masyarakat, ada orang hasad dengki, pemarah dan lain-lain
sifat yang mencabar kesabarannya. Bila ada cabaran, barulah ada tindakan.
Pakar-pakar pendidikan kita
perlu memikirkan cara untuk mendedahkan murid-murid pada suasana masyarakat
sebagai satu latihan yang amat berkesan bagi mendidik nafsu. Misalnya, bila
berdepan dengan hal-hal yang negatif. Mereka boleh berlatih bersabar.
Sebaliknya, bila berdepan perkara-perkara yang baik, mereka akan cuba untuk
mencontohinya.Latihan ‘terjun’ ke tengah
masyarakat juga penting supaya murid-murid tahan diuji. Bila berdepan dengan
godaan, mereka tidak mudah ‘hanyut’. Ibarat kita membekalkan tentera dengan
senjata dan dilatih mereka menggunakannya. Bila terjadi peperangan sebenar,
mereka tidak akan mudah tewas. Justeru itu mesti ada latihan ‘berperang’ dengan
hawa nafsu. Latihan-latihan kerja sambil membuat khidmat masyarakat seperti
membasuh kolah masjid, membersihkan kubur dan lain-lain, perlu diterapkan pada
murid-murid sejak di sekolah rendah lagi.
Kanak-kanak tidak boleh
dimanjakan hingga tidak boleh dijentik telinganya. Sebab itu perlunya
latihan-latihan begitu dengan tujuan mendidik. Jika cara ini ditempoh dengan
sebaik-baiknya, barulah nafsu terdidik, insyaAllah. Bila nafsu terdidik ertinya
separuh daripada diri telah terdidik kerana nafsu itu dikira sebahagian
daripada diri.
No comments:
Post a Comment