Sebenarnya, penyakit yang menimpa adalah antara ujian dari
Allah SWT. Namun dalam tidak sedar, ujian penyakit yang kita hadapi itu adalah
guru yang mengajar dan mendidik kita agar kita menjadi manusia yang lebih baik.
Jangan sesekali kita berburuk sangka kepada Allah SWT di atas musibah yang
menimpa.
Kita sering mendengar keluh kesah pesakit yang menderita
penyakit-penyakit kronik. Ada yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan
mereka sebegitu. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga. Penyakit yang dideritai hadir
di saat kehidupan mereka yang kian kesempitan. Ada antaranya menyatakan
rasa iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan memperoleh kesenangan
dan kesihatan secara berterusan.
Hakikatnya, inilah asam garam kehidupan yang harus diterima
dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat
analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT
mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Sebagai
hamba-Nya, harus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu
ketentuan dan musibah perlu dihadapi dengan bijak, tenang serta berserah tanpa
kompromi kepada Allah SWT.
Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya kami
akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan
harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang
sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi
Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya
dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” - Surah al-Baqarah :
155-157
Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah
ditempuhi dengan sabar, redha dan bertawakal kepada-Nya. Terus menerus
berusaha mencari penawar dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan rahmat
agar keadaan penyakit yang dihadapi akan lebih baik daripada sebelum ini.
Derita Nabi Ayyub a.s
Di dalam Al-Quran ada merakamkan kisah penderitaan penyakit
yang terpaksa ditanggung oleh Nabi Ayyub. Di dalam Kitab Duratun Nasihin, pada
bab kisah kesabaran Nabi Ayyub. Secara ringkasnya, Nabi Ayyub a.s merupakan
seorang Nabi Allah yang dikurniakan nikmat kekayaan, kesihatan serta anak
pinak. Beliau tidak pernah lupa untuk mensyukuri atas segala nikmat yang telah
Allah SWT kurniakan.
Dengan izin Allah, kesabaran Nabi Ayyub a.s. diuji apabila
Iblis membakar rumah, harta benda dan anak-anak Nabi Ayyub a.s. Iblis belum
berpuas hati lantaran melihat ketabahan dan kesabaran Nabi Allah Ayyub. Lalu
sekali lagi Nabi Ayyub di uji dengan jangkitan penyakit kulit yang kronik
sehinggakan masyarakat di sekeliling merasa jijik melihatnya. Isteri-isterinya
meninggalkan beliau kerana tidak mampu lagi menanggung malu dan kesengsaraan
hidup.
Yang tinggal hanyalah Nabi Ayyub bersama Siti Rahmah salah seorang dari
isterinya yang solehah menemaninya walaupun keadan beliau yang serba dhaif.
Selama 7 tahun Nabi Ayyub menderita, namun tidak lekang dari mulutnya berzikir
memuji Allah SWT. Siti Rahmah juga akhirnya berjaya dihasut oleh iblis
seterusnya meninggalkan Nabi Ayyub keseorangan.
Dalam pada itu, bermunajat Nabi Ayub a.s merintih pada Allah
SWT sebagaimana firman-Nya :
"(Ya Tuhanku),
sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha
Penyayang di antara semua penyayang". - Surah Al-Anbiya’: 83
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Allah tidak membiarkan
Nabi-Nya sepi sendirian. Maka Allah mengabulkan rintihan Nabi Ayub. Allah
menyuruhnya agar menghentakkan kaki ke tanah, lalu keluarlah air yang sejuk
dingin lalu diminum, dimandikan sebagai penawar. Firman Allah SWT :
“- Maka kami pun
memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan
Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka,
sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua
yang menyembah Allah”. Surah Al-Anbiya’: 84
Dengan izin Allah SWT, Nabi Ayub a.s telah kembali sihat
seperti sedia kala, bahkan Allah mengurniakan zuriat lagi ramai, berganda-ganda
dari yang hilang dan Allah juga mengembalikan kemewahan kepada Nabi Ayub a.s.
sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah.
Cebisan kisah Nabi Ayyub a.s. ini memberi pengajaran kepada
kita bahawa musibah penyakit adalah ujian dari-Nya sebelum Allah
mengurniakan rahmat kasih sayang-Nya. Allah SWT ingin menilai kesabaran dan
keteguhan iman dan cinta kita kepada-Nya. Jangan sesekali berputus asa dengan
rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya yang
soleh. Percayalah, akan tiba masanya jika tidak di dunia, pasti di akhirat
kelak akan terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat
kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.
Hikmah Disebalik Musibah Penyakit
Di sebalik setiap musibah yang menimpa manusia itu
sebenarnya mempunyai hikmah yang tertentu. Musibah bukan sahaja datangnya
sesuatu penyakit tetapi apa-apa dugaan yang Allah SWT menduga kita seperti
masalah rumah tangga, masalah kewangan, masalah di tempat kerja, masalah
pembelajaran anak-anak, masalah politik negara, banjir besar, tsunami, gempa
bumi, kemarau dan sebagainya. Antara hikmah yang boleh kita ambil dari musibah
yang dihadapi antaranya :
Mengangkat Darjat - Musibah
yang menimpa seseorang merupakan jalan untuk Allah SWT meninggikan darjat
seorang hamba-Nya. Kisah Nabi Ayub merupakan contoh yang terbaik. Nabi
Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah SWT, namun masih mampu berbaik
sangka kepada-Nya . Sudahlah dirinya ditimpa penyakit. Isteri-isterinya
juga menjauhkan diri. Namun Nabi Ayub tetap bersabar menerimanya sehinggalah
Allah SWT mengembalikan semula kesihatan dan ditinggikan pula darjat di
sisi-Nya. Sesungguhnya, kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan
mempunyai hikmah yang besar. Ujian dari Allah SWT datang kepada manusia-manusia
yang Allah pilih sahaja. Kita hendaklah bersyukur sekiranya musibah datang
kepada kita sebab kita di antara hamba-hamba Nya yang Allah SAW pilih untuk
diduga.
Tanda Cinta - Musibah
adalah tanda kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya besarnya pahala yang kita
perolehi bergantung besarnya dugaan, dan Allah SWT apabila mencintai suatu kaum,
maka Allah akan menguji mereka. Barang siapa yang redha, maka ia akan
mendapatkan keredhaan-Nya dan barang siapa yang kesal terhadapnya, maka ia akan
mendapatkan kemurkaan-Nya.” - (HR. Ahmad dan Tirmidzi).
Justeru itu, janganlah disesali akan musibah yang dihadapi,
malah seharusnya disyukuri.
Belajar Erti Sabar - Yakinlah
bahawa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kesanggupannya dan
kemampuannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang
sabar dan sentiasa bersama-sama mereka, sebagaimana firman-Nya :
“Dan ingatlah Allah
sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar". - Surah Ali 'Imran : 146
Pembersihan Dosa - Sebagai
manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan
sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Hakikatnya iblis dan syaitan
senantiasa menggoda nafsu kita agar terus menerus melakukan dosa. Sedangkan
dosa itu menjauhkan diri kita dengan Allah SWT. Hikmah diturunkan kesakitan itu
adalah sebagai cara untuk membersihkan diri kita terhadap dosa-dosa lalu. Ia
bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tidaklah seorang
muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan
bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya."
- (HR. Bukhari dan Muslim)
Memberi Keinsafan - Kita
mesti bersyukur segala nikmat kesenangan yang diberi oleh Allah SWT. Dengan
kehendak-Nya juga, nikmat kesenangan itu boleh hilang dalam sekelip mata.
Janganlah dicela andai musibah menimpa. Ketahuilah bila anda sakit atau ditimpa
sesuatu musibah, hakikatnya Allah SWT sedang memberikan perhatian kepada anda.
Bukankah itu satu kemuliaan?
Pengubat Kepada Penyakit
Ego - Sakit menjadikan kita beringat akan nikmat
sihat yang Allah SWT kurniakan hanyalah pinjaman semata-mata. Segala yang
kita miliki adalah milik mutlak Allah SWT. Sakit adalah petanda bahawa kita
adalah makhluk yang lemah. Didatangkan sakit atau apa-apa musibah, adalah untuk
kita beringat bahawa kita ini hamba Nya dan kita tidak patut bersifat sombong
dan bongkak kepada Allah SWT. Sesungguhnya musibah itu adalah pengubat kepada
“ego” kita.
Lebih Dekat Dengan
Tuhan - Dalam keadaan sakit, kita lebih mudah
mengingati Allah. Merasa kelemahan dan ketidakmampuan di hadapan-Nya. Bila kita
sakit kita akan bersungguh-sungguh memohon perlindungan kepada Allah SWT.
Mungkin selama ini kita lalai. Keadaan ini akan mengingatkan kita kepada nikmat
kesihatan yang dikurniakan oleh Allah. Jarang orang merasakan nikmat ketika
sakit. Namun, bagi orang yang banyak bersyukur dan bersabar dalam menghadapi
kesakitan, ia akan memperoleh nikmat.
Muhasabah Diri - Bila
kita terlalu leka dalam hal-hal duniawi, kita selalu lupa kewajipan kita untuk
beribadah kepada Allah SWT. Hal-hal duniawi lebih penting dari hal-hal
akhirat. Turunnya penyakit memberi keinsafan dan mula mendekatkan diri dengan
Allah SWT. Sakit adalah ‘signal’ yang Allah SWT sangat mengasihi kita agar
menjadi hambanya yang bertaqwa dan tidak terus lalai dan leka kerana matlamat
sebenar kita adalah kehidupan abadi di akhirat kelak, bukan kehidupan dunia
yang bersifat sementara.
Membersih Hati - Manusia
yang tidak diuji dengan musibah menjadikan ia ujub dan takabbur. Hatinya
menjadi kasar dan jiwanya beku. Musibah dalam bentuk apapun adalah rahmat Allah
SWT. Ia dapat membersihkan jiwa dan menyucikan iman seseorang. Itulah ubat dan
penawar kehidupan yang diberikan Allah SWT kepada setiap orang beriman. Ketika
hati menjadi bersih dan suci maka sirnalah penyakitnya, martabatnya diangkat
dan jiwanya dimuliakan.
Sesungguhnya nikmat kesihatan yang kita perolehi pada ketika
ini wajiblah kita syukuri. Seandainya ditimpa musibah penyakit maka mohonlah
kesembuhan kepada-Nya. Perbanyakkan amal ibadah, dekatkan diri dengan
Al-Quranul Kareem kerana di situ ada penawar kesembuhan dari segala macam
penyakit dengan Izin Allah. Firman Allah SWT :
“Dan Kami turunkan
dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar
dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran
tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka)
melainkan kerugian jua.” - Surah Al-Isra’:82
Ada ayat khusus antara ayat-ayat Al-Quranul Kareem untuk
pesakit-pesakit amalkan tetapi kuasa penyembuhan mutlak adalah dari Allah SWT.
Setiap rangkaian ayat yang diamalkan itu ibarat sebagai ubat panawar kepada
penyakit yang dialami. Maka berdoalah kepada Nya dan mohon keredhan dan
keampunan semoga segala musibah penyakit yang diturunkan akan segera sembuh
kembali, Insyallah.
Assalam tuan Amar, buat kali pertama saya ziarah Mbah Ismail Benut tadi malam (Ogos 17 2013). Lepak borak dari jam 10pm - 3am. Sihal walafiat orang tua tu...Salam kenal dari JB and I loooove your stories!!)
ReplyDeleteHanif
Nampaknya tuan Hanif seguru dgn tuan Amar...alhamdulillah...
ReplyDeleteWaalaikumsalam Tuan Hanif.. Alhamdulillah dapat juga Tuan meluangkan masa berborak sambil mengorek ilmu dari Mbah. Dan syukurlah Allah kurniakan usia yang panjang buat beliau dan kesihatan yang berkekalan. Just few stories to told based on my experiences. Terima kasih kerana meminatai penulisan saya uan Amar.. Salam ukhwah juga dari saya.. Ya Lisa Allisa, anak murid Mbah memang terlalu ramai...
ReplyDelete